Pengenalan

Sejarah Sekolah


Setelah siap pembinaan SK Lambor Kiri yang baru pada awal tahun 1970-an, penduduk-penduduk tempatan merasakan adalah sangat perlu dibina pula sebuah sekolah menengah di Mukim Lambor Kiri.

Bersandarkan kepada kepentingan pendidikan peringkat menengah, maka pemimpin tempatan dengan disokong oleh Ahli Yang Berhormat ADUN Bota telah mengemukakan permohonan peruntukan Kerajaan untuk membina sebuah sekolah menengah di kawasan Lambor Kiri. Jawatankuasa Bertindak telah dibentuk yang dipengerusikan oleh YB Dato' Haji Latif bin Haji Mohd Lazim, ADUN Bota ketika itu dengan dianggotai oleh Ketua-Ketua Kampung (Kampung Lambor Kiri, Kampung Teluk Sena, Kampung Pulau,Kampung Kuchai dan Kampung Bakong).

Usaha dan tindakan susulan terus dilakukan secara bersepadu oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat berikutnya, iaitu Ahli Parlimen Parit Tuan Haji Nasaruddin bin Alang Saidin dan Dato' Haji Ahmad Hambal bin Yeop Majlis, ADUN Bota ketika itu. Usaha-usaha tersebut telah berjaya dan peruntukan pembinaan Sekolah Menengah Lambor Kiri telah diluluskan pembinaannya di atas tapaknya sekarang ini.

Antara alasan-alasan yang menyokong hasrat mereka adalah kerana kesukaran murid-murid meneruskan persekolahan peringkat menengah di SMK Sultan Muzaffar Shah, Lambor Kanan dengan berulang alik menyeberangi sungai menggunakan sampan terutama semasa musim hujan dan banjir. Isu yang sering diperkatakan oleh ibu bapa ialah berkenaan aspek keselamatan dan risiko yang terpaksa ditanggung oleh anak-anak mereka kerana sampan penambang tidak dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang sepatutnya. Insiden sampan yang membawa murid dihanyutkan arus deras ke hilir sungai menambahkan kebimbingan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka ketika menyeberangi sungai sewaktu pergi dan balik dari sekolah.

Atas alasan inilah maka kerajaan telah bersetuju membuka SMK Lambor Kiri secara rasmi pada 3 Jan 1989 dengan jumlah permulaan pelajar seramai 75 orang. Sekolah Penyalur atau “feeder school” ialah SK Teluk Kepayang, SK Bakong, SK Lambor Kiri, SK Pasir Kubu dan SK Pulau Tiga Kiri.

Pada tahun 1989 kerja-kerja pembinaan sekolah ini mula dilakukan di atas kawasan tanah seluas 15 ekar di Alor Bemban, Teluk Sena.


Perkembangan SMKLK
Bangunan asal sekolah adalah merupakan bangunan sementara di SK Lambor Kiri dan berpindah ke bangunan sendiri secara rasminya pada 9 September 1991. Oleh kerana bilangan pelajar yang semakin meningkat menyebabkan pembukaan asrama sekolah pada tahun 1995. Pada tahun 2001 sebanyak 6 blok asrama putera dan puteri telah siap dibina yang boleh menampung seramai 300 pelajar.

Kumpulan awal tenaga pengajar yang ditempatkan di sekolah ini terdiri daripada 5 (lima) orang guru termasuk Pengetua dan seorang Guru Kanan. SMK Lambor Kiri mula beroperasi pada 3 Januari 1989 menumpang di kawasan SK Lambor Kiri. Murid-murid belajar dalam bangunan sementara yang dibina secara gotong-royong. Kawasan ini tidak kondusif kerana menumpang danberkongsi kemudahan dan terpaksa menumpang tandas,kantin dan padang SK Lambor Kiri

Bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Lambor Kiri yang baru dibina di atas tapak seluas 15 ekar di Kampung Teluk Sena, Lambor Kiri. Ia terdiri daripada tiga blok dan tiga tingkat. Ia mempunyai sebuah pejabat pentadbiran, sebuah bilik guru, sebuah bilik perpustakaan, sebuah bilik media, enam buah bilik makmal sains, dua buah bilik Ekonomi Rumah Tangga, sebuah Surau, padang permainan, gelanggang tenis, rumah guru dan kemudahan-kemudahan lain.

Perkembangan Bilangan Murid

Perpindahan ke bangunan baru SMK Lambor Kiri dilakukan pada 09 September 1991. Bilangan murid di SMKLK semakin meningkat pada setiap tahun. Peningkatan ini ada kaitan dengan pembukaan asrama sekolahpada tahun 1995. Pada tahun 2001, enam blok bangunan baru asrama putera dan puteri telah siap dibina yang mampu menampung seramai 400 orang murid.

Peneraju Sekolah

Pengetua-Pengetua yang pernah bertugas di sekolah ini terdiri daripada :

1. Encik Hashim Bin Haji Said -(Jan 1989-31 Mei 1991)

2. Tuan Haji Esmail Bin Mohd Salleh (22 Ogos 1991-31 Jan 1998)

3. Encik Abd Majid b Yusof (5 Feb 1998- Apr 2000)

4. En. Nayan b Mahmud (21 Apr 2000– 16 Jun 2003)

5. Pn. Siti Arpah bt. Ibrahim (28 Jan 2004- 16 Ogos 2004)

6. Tn. Hj Mohamad Zaki b. Bon Yamin (16 Ogos2004- 19 sep 2009)

7. En. Zahidi b. Yusof (21 Dis 2009- 1 Ogos 2010)

8. Tn Hj Mohd Zalkornain b. Jaafar (19 Ogos 2010- 1 Nov 2010)

9. En. Sarman b. Kamardin (2 Jan 2011 - Jun 2013)

10. Pn Hjh Bainah bt. Ab Dolah (17 Jun 2013 -26 Jun 2015)

11. En. Shamsahhimmi b. Harun (18 Mei 2015- 6 Oktober 2017)

12. En. Sabarudin b. Othman,PPT( 16 Oktober 2017 hingga sekarang)



PIBG


Program dan aktiviti sekolah ini sentiasa mendapat kerjasama dan sokongan daripada Persatuan Ibubapa Guru (PIBG). PIBG memberi kerjasama dalam bentuk kewangan dan sokongan moral untuk memastikan kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Pengerusi PIBG sekolah ini sejak penubuhannya adalah seperti berikut:


1. Tuan Haji Mohd Lazim bin Alang Hassan (Tahun 1989 - 1991)

2. Tuan Haji Mohd Saibi Bin Mohd Seri, PJK (Tahun 1992 - 2004)

3. Encik Saidon bin Mat Kamis (Tahun 2005 - 2007)

4. Kapten (B) Haji Usaili bin Alias (Tahun 2007 – 2011)

5. Encik Mohamed Fauzi bin Mohd.Noor (Tahun 2011 - 2012)

6. Encik Megat Mahmud bin Megat Yusof  (Tahun 2012 - sehingga sekarang)


Semoga sekolah ini akan terus mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang hasil dari komitmen seluruhnya, selaras dengan slogan sekolah ini iaitu.


"Bersama Membina Kecemerlangan"

0 comments:

Post a Comment

Embedded below post